Search This Blog

Wednesday, December 23, 2009

LATARBELAKANG SK POS LEGAP

SEKOLAH DAN PERKEMBANGAN

Sekolah ini dibuka pada tahun 1974 oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pada tahun 1989 seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) En. Zulkifli B. Yeop telah dihantar bertugas sebagai guru di sekolah ini di bawah pentadbiran SK.Chenein.

Pada tahun 1993 sekolah ini dengan rasminya telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Perak. Pada tanggal 1 Januari 1993 seorang guru yang berkelayakan maktab telah dihantar sebagai guru terlatih di samping memangku tugas Guru Besar. Beliau ialah En. Abdul Kadir B. Hj. Hassan. Secara rasminya sekolah ini telah dimashurkan dengan nama Sekolah Kebangsaan Pos Legap. Pada 1 April 1993 En. Abdul Kadir dengan rasminya telah dilantik menjawat jawatan Guru Besar pertama sekolah ini. Pada sesi persekolahan 1994/95 seramai 7 orang guru terlatih telah dihantar bertugas di sekolah ini dengan diketuai oleh seorang Guru Besar. Sekolah telah mendapat peruntukan sebanyak RM 300,000.00 untuk pembinaan dua blok bangunan batu yang baru. Bangunan ini telah siap pada Ogos 1995 dan diserahkan kepada pihak sekolah pada Oktober 1995.

Pada sesi 1996 seramai 120 orang penghuni asrama tinggal di asrama dibawah seliaan dua orang warden yang dilantik di kalangan guru. Pada Jun 1996 asrama ini telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Pendidikan. Pada sesi ini juga kakitangan sekolah telah ditambah kepada dua orang iaitu berjawatan jaga dan Pembantu Rendah Am.

Pada Julai 1997 En. Abdul Kadir telah bertukar, tempatnya telah digantikan oleh En. Isa Anshori B. Hj. Ismail yang telah melaporkan diri pada September 1997.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan satu projek bernilai hampir RM 3 juta untuk membina beberapa bangunan tambahan termasuk 2 blok satu tingkat asrama, 1 blok dewan makan, 3 blok pentadbiran dan bilik darjah dan 2 blok rumah guru termasuk kemudahan lain seperti sebuah rumah pam dan sebuah janakuasa berkuasa diesel.

Mulai tahun 1.1.2003 SK. Pos Legap telah digredkan di bawah Gred A Luar Bandar. Pada tahun 2007 bangunan lama di blok pentadbiran dinaiktaraf menjadi bangunan Prasekolah.

No comments:

Post a Comment